PERUTUSAN PENGERUSI MAJLIS DAERAH KENINGAU Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera dan Salam Malaysia MADANI. Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia-Nya, Laman Web Rasmi Majlis Daerah Keningau terus menjadi medium utama penyampaian maklumat, komunikasi dan penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat selaras dengan perkembangan teknologi digital masa kini. Seiring dengan kemajuan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), laman web rasmi ini berperanan sebagai platform yang menyediakan pelbagai maklumat berkaitan pentadbiran, perkhidmatan, aktiviti, pengumuman, dasar serta inisiatif pembangunan yang dilaksanakan oleh Majlis Daerah Keningau. Melalui kemudahan capaian internet yang semakin pantas dan meluas, orang ramai boleh mendapatkan maklumat serta berurusan dengan Majlis secara lebih mudah, cepat, telus dan efisien pada bila-bila masa dan di mana sahaja. Selaras dengan aspirasi Kerajaan Digital, Pendigitalan Perkhidmatan Awam serta agenda transformasi Majlis Daerah Keningau, kami sentiasa komited untuk memperkukuhkan penyampaian perkhidmatan secara dalam talian melalui pelbagai inisiatif digital seperti perkhidmatan elektronik (e-Services), pembayaran dalam talian, hebahan maklumat, aduan awam dan pelbagai kemudahan lain yang dapat meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan kepada pelanggan. Laman web ini akan sentiasa dikemas kini dari semasa ke semasa agar maklumat yang dipaparkan sentiasa tepat, relevan dan terkini. Kami juga amat mengalu-alukan pandangan, cadangan serta maklum balas daripada masyarakat bagi membantu Majlis menambah baik mutu penyampaian perkhidmatan serta menyokong usaha pembangunan Daerah Keningau sebagai sebuah daerah yang bersih, hijau, selamat, berdaya saing dan mampan untuk didiami, dilawati serta dilaburkan. Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan tahniah kepada semua warga kerja Majlis Daerah Keningau, khususnya pasukan pengurusan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) serta pengurusan laman web rasmi Majlis yang sentiasa berusaha memastikan maklumat yang disampaikan adalah berkualiti, tepat dan mudah diakses oleh semua lapisan masyarakat. Adalah menjadi harapan saya agar laman web rasmi ini terus menjadi sumber rujukan utama kepada warga Keningau, para pelabur, agensi kerajaan, sektor swasta serta seluruh masyarakat dalam mendapatkan maklumat berkaitan Majlis Daerah Keningau. Semoga segala usaha yang dilaksanakan dapat memperkukuhkan sistem penyampaian perkhidmatan awam yang lebih cekap, berintegriti, responsif dan berorientasikan pelanggan. Akhir kata, saya mengucapkan selamat melayari Laman Web Rasmi Majlis Daerah Keningau. Semoga segala maklumat yang disediakan memberi manfaat kepada semua. Sekian, terima kasih.
Hak Cipta @2026 (JPKN)-BAYU. (jpkn)- JABATAN PERKHIDMATAN KOMPUTER NEGERI
Jumlah Pelawat : 20,142,014 Orang